Sunday, 13 September 2015

OXYCOLLAGEN

2015, belum berakhir namun sudah hampir menuju ke suku terakhir perjalanannya.

2015 tahun ilmu bagi KakSeri. Tahun menimba ilmu. Itu AZAM dan MATLAMAT jelas KakSeri letakkan di akhir 2014.

Alhamdulillah, Allah lorongkan dengan mudah dan lancar.

Tiada istilah 'hujung minggu' tahun ini.  Bergerak aktif sepanjang tahun. Umur 45 bukan penghalang atau alasan menggagalkan apa yang kita mahukan.

45? Bagaimana KakSeri kekalkan kecergasan? (dan kekal awet muda! Ha ha)

Ada beberapa aktiviti harian dan pengambilan supplemen yang KakSeri amalkan.

Antaranya : Ambil minuman berasaskan kolagen. Awal pagi. Sekurang-kurangnya 30 minit sebelum sarapan.

Kandungan kolagen pada kulit adalah 70%. Ramai tak tahu, 85% pada urat dan ligamen adalah kolagen.
Malah, ia  juga diperlukan oleh tulang dan organ dalaman.

Jadi, dalam minuman kolagen, semua ada, kan? Tugas kita, cari product terbaik dan sesuai dengan kita.

Gambar : Oxycollagen = Oxygen + Collagen kegemaran KakSeri.

#oxycollagen #awetmuda #cergas #KakSeri #SeriAishah #senyum #bahagia

BUILDING HIGH PERFORMING TEAM #2

13 September 2015

Day 2 : BUILDING HIGH PERFORMING TEAM. RECAP

Bersama lagi dengan Ibu Faridah Hanim Haron untuk pembelajaran COMMUNICATION dan  CULTURE.

Tahukan kita?
Komunikasi verbal hanya memberikan kesan sebanyak 7% sahaja?

Apa yang lebih penting dalam sebuah komunikasi adalah kesan dari tindakan Non-Verbal. 93% !.

Bagaimana kita membaca atau memahami maksud tersirat disebalik satu-satu komunikasi?

Melalui 3 cara :
+ Baca gerak tubuh mengikut kluster/kelompok
+ Perhatikan kelakuan yang sepadan
+ Baca gerak tubuh mengikut suasana

Gambar: Roleplay menginterpretasi gerak bahasa tubuh.

#leadership #speaker #communication #CorporateTraining #KakSeri #SeriAishah #senyum #HighPerformanceTeam #AnnemsLeadershipSolution

Friday, 11 September 2015

BUILDING HIGH PERFORMING TEAM

12 -13 September 2015

Bismillah.

Hari ini KakSeri sambung lagi membuka buku mencatit, berinteraksi, mengambil bahagian dan senyum.

Bersama-sama rakan Ekonomi Persahabatan, kami belajar bagaimana merealilsasikan pembentukan kumpulan berprestasi tinggi di dalam setiap aktiviti di dalam sessi BUILDING HIGH PERFORMING TEAM.

Hari pertama memahami ideologi bawaan Katzenbach dan Bruce Wayne Tuckman.

Sessi dimulakan dengan video pembelajaran kehidupan LIFE IS FRAGILE.

+ Mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku
+ Fokus perkara yang kita suka dan percaya
+ Esok belum pasti. Berikan sepenuhnya apa yang kita ada hari ini.

#kongsiilmu #KakSeri #SeriAishah  #leadership

Thursday, 10 September 2015

UKURAN TENANG


Dalam perjalanan pagi tadi KakSeri dan AbgHj bersembang. Bagaimana mahu miliki jiwa yang tenang.

Mahu sentiasa saja seperti jiwa berada di tepian pantai yang bersih dengan cuaca dan suasana damai.

Seperti jiwa sentiasa berada di sekitar alam semulajadi yang damai tanpa kesesakan.

Sentiasa di dalam jiwa senyum yang bahagia membuat apa yang kita suka.

AbangHaji kata, semuanya bermula dari tika kita membuka mata.

Lihat cara kita bangun dari tidur.
Lihat cara kita beribadah kepadaNYA
Lihat cara kita menguruskan diri sendiri.

Bagaimana?

Itulah UKURAN TENANG-nya diri kita.

Kita yang memilih untuk berada didalam situasi apa yang kita mahu.

Mahukan kedamaian?
PILIH untuk tidak menyakiti yang lain. Wujudkan suasana itu.

Tak mahu bersesak?
PILIH untuk memulakan hari awal dan punya banyak masa mengurus diri dan kewajipan.

Mahu lakukan perkara yang kita suka? PILIH lah untuk sukakan apa yang kita perlu lakukan.

Ya. Banyak benarnya.

KakSeri terfikir satu perkara.
Tergocoh-gocoh bersolat, bagaimana tenang mahu datang?

#celoteh #KakSeri #SeriAishah
#SeriAishahApparel
#JubahEksklusifSeriAishah
#AnizonInnerNeck
##Lexee

Tuesday, 8 September 2015

Diari Haji KakSeri #2 : Simpanan

Seingat KakSeri, masa zaman kecil-kecil dulu, KakSeri dan adik beradik sudah punya buku simpanan sendiri. Buku simpanan Pejabat Pos.

Rakan sebaya, ingat tak? 

Walaupun simpanan tak banyak mana ketika tu, sebab hanya abah sahaja yang bekerja, tapi konsep menyimpan yang dipupuk orang tua kita itu yang sangat penting.

Dari Pejabat Pos kemudian naik taraf ke Bank Simpanan Nasional, BSN.


Sekarang ini, sudah terlalu banyak bank simpanan untuk dijadikan pilihan. Antaranya, Amanah Saham Bumiputera/ Wawasan/ Didik dan juga Tabung Haji.


Potong Gaji



KakSeri mula menabung sendiri secara serius sejak tahun pertama bekerja. 1993. Buka akaun Tabung Haji dan ASB. Wang gaji masuk melalui BSN. Ketika itu tiada fasiliti perbankan untuk aktiviti 'transfer online' dan sebagainya. Maka simpanan melalui  potongan gaji ialah yang paling efektif dan KONSISTEN.

Pada awalnya, KakSeri membuka akaun Tabung Haji tanpa ada perancangan sebenar bila mahu naik haji. Cuma ada di fikiran, tabungan sangat PENTING untuk perancangan masa depan. Bila sampai seru nanti, sekurang-kurangnya sudah ada wang di tangan.

Tidak lama selepas itu, KakSeri buka Akaun ASW dan beberapa akaun bank lain. Minatlah sangat tengok koleksi buku akaun yang ada. Pelbagai rupa dan warna. Persepsi diri sendiri, walau simpan sana sikit, sini sikit, punya banyak koleksi buku simpanan adalah satu kejayaan besar. Ha ha. 

Selain dari wang gaji, KakSeri turut menyimpan apabila terima imbuhan bonus dari pihak syarikat. Sebahagian belanja, sebahagiannya simpan.

Apabila sudah punya cahayamata, KakSeri turut buat potongan gaji untuk mereka juga. Abg Haji pun sama. Untuk diri sendiri dan anak-anak. Kami kongsi kegembiraan melihat amaun simpanan anak-anak bersama. 

'Angpaw' hari raya juga kami dorong untuk mereka tabungkan. Mana tahu ada program di sekolah yang mereka boleh sertai. Kan dah jadi satu kebiasaan, sekarang?

Buat simpanan potong gaji ni sangat mengujakan! Biasanya kami akan kemaskini buku akaun setahun sekali sahaja iaitu selepas deklarasi bonus dan dividen tahunan. 

Masa itu, akan terlihatlah nombor-nombor yang menaikkan semangat. Selepas tu mulalah hati kecil ber'kalau'. Kalau lah aku simpan lebih banyak, mesti lebih besar angkanya tanpa kita sedar... kan? Tau takpe. he he

Contoh, katalah simpanan anak-anak RM20 seorang. Kali 2 (KakSeri & AbgHj) bersamaan RM40 seorang. Hujung tahun ada tambahan RM480 dalam setiap akaun mereka. Ayah ibu yang lebih teruja mahu balik cerita pada anak-anak.


Bila kami tunjuk buku simpanan pada anak-anak, KakSeri dapat bayangkan keseronokan mereka. Mesti sama perasaan mereka seperti yang KakSeri rasakan pada ketika dulu setiap kali abah tunjukkan amaun dalam buku simpanan. Nostalgia.

Harapan kami, ini dapat dijadikan dorongan, motivasi dan teladan yang baik untuk mereka, serius memulakan tabungan sendiri bila tiba masa mereka nanti.


gambar hiasan

Sikit sikit lama lama jadi bukit. 

Saban tahun KakSeri tambah jumlah tabungan. Samada dari kenaikan gaji atau wang dari 'bisnes-part-time'. Apabila ada rezeki dalam bentuk bonus tahunan, disimpan juga sebahagian besar dari bonus itu. 


Alhamdulillah, sampai juga seru KakSeri jadi tetamu Allah pada tahun 2009. Hasil simpanan 16 tahun yang berdikit-dikit itu, keperluan kewangan bukan lah sesuatu MEMBEBANKAN.  Bahkan boleh digunakan untuk menaja ayah dan ibu sama-sama ke MEKAH. Hanya perlu tambah sikit sikit saja lagi.

Seronok kan bila kita dapat tuai hasil yang berkualiti berkat kesungguhan kita?

Satu tips KakSeri nak kongsi:
Buku simpanan harus disimpan jauh-jauh dari pandangan. Ha ha. Ini untuk mengajar diri mengawal kerakusan nafsu dari berbelanja, membeli itu dan ini yang tidak menjana wang untuk menjadi lebih banyak.

Konsep 6-Tabung

Tabung untuk menunaikan  haji boleh dikategorikan di dalam simpanan keperluan jangkamasa pendek atau keperluan jangkamasa panjang. Terpulang matlamat individu.

KakSeri teruja juga mahu kongsikan konsep simpanan 6-Tabung sebagai panduan :
  1. 55% Keperluan
  2. 15% Keperluan Jangkamasa Panjang
  3. 10% Tabung Pelajaran
  4. 10% Tabung Jangkamasa Pendek/Sukaria Keluarga
  5. 5% Kecemasan
  6. 5% Sedekah Jariah

15%  keperluan jangkamasa panjang itu adalah antara simpanan yang terpenting dalam hidup kita. Kita boleh kategorikan simpanan ini dalam bahasa PELABURAN. Keperluan jangka masa panjang perlu dirangka dalam tempoh 5 hingga 10 tahun atau lebih. Kaitkan dengan matlamat yang mahu dicapai pada ketika tersebut.

Pelaburan ini boleh dipelbagaikan caranya. DIVERSIFY.

Antara pilihan pelaburan yang boleh diambilkira seperti :

+ pelaburan amanah saham (unit trust)
+ simpanan dalam bentuk emas fizikal
+ pembelian hartanah
+ pembelian saham Bursa Malaysia / International yang tertentu

10% keperluan jangkamasa pendek juga boleh di laburkan untuk pulangan yang lebih besar dari dividen simpanan biasa yang sekitar 5%-8%. Namun peluangnya sangat terhad dan risiko yang tinggi seperti pembelian saham Bursa Malaysia.

DISIPLIN sangat penting dalam konsep menyimpan. Fokus MATLAMAT melebihi perkara lain. Bila ada matlamat, simpanan yang kita buat lebih berstruktur.

Kesimpulannya, mulakan tabungan dari SEKARANG dengan apa yang ada di tangan.

+ Dapatkan ilmu simpanan/urus wang yang betul.
+ Gunakan platform yang diluluskan dan diiktiraf Bank Negara Malaysia dan Security Commission 
+ Percaya dengan konsep memberi dan akan menerima lebih banyak (termasuk 5% dalam konsep 6-Tabung)
+ Elakkan dari terjerumus dari kerakusan nafsu mahu kaya dengan PELABURAN JANJI MANIS yang melibatkan wang tunai yang besar.

Ingat! Mahu dapat perlu usaha, kalau nak hilang sekelip mata saja.

SELAMAT MENYIMPAN! :)


#KakSerimenulis #KakSeri #SeriAishah #uruswang #diarihajiKakSeri #simpanan





















RAS -Reticular Activation System

Teh-tarik-ais atau Teh-ais-tarik

KakSeri tak tahu nama sebenar. Semenjak dua-menjak KakSeri sukalah sangat bersarapan bersama Teh-tarik yang di'beng'kan.

Dilokasi yang sama, pembancuh yang sama.

Hari Isnin.

KakSeri : Tuan, Teh-tarik-ais minum!

Pembancuh : (Buat teh, ditarik dan ditambah ais). Siap!

Hari Selasa.

KakSeri : Tuan, Teh-ais-tarik minum!

Pembancuh : (Buat teh, ditambah ais dan ditarik). Siap!

Ha ha...

Rupa agak berbeza tetapi rasa tetap sama.

KakSeri belajar sesuatu.

Arahan berbeza akan menyebabkan jalan kerja berbeza.

Keputusan sedikit berbeza tetapi tak lari jauh. Masih dapat hasil yang lebih kurang sama.

Reticular Activation System - Bagaimana minda memproses maklumat untuk menghasilkan output dari pemahaman individu.

Tag: Ibu Faridah Hanim Haron 😍, TuanHafiz Muridann 😊

#diari #leadership #ALeaderInYou #LOVE #speaker #KakSeri #SeriAishah

Monday, 7 September 2015

PERIA KATAK vs DIABETES


Ini lah antara cerita kami bila berdua-duaan warga sejahtera yang sangat kekal awet muda. Ha ha 😅

Hah. Apa pulak kaitan dengan awet muda?

Sebab, semalam kakak ipar KakSeri puji. Katanya, "cek ni tak makan tua nuu".

Maknanya ialah KakSeri = awetmuda. Awetmuda = KakSeri. Ahakss

Tak caya? Betul... Senyum sampai telinga. 😊

Ok. Sambung cerita asal.

Pagi-pagi, sebaik parking kereta, AbgHj keluarkan Diabetes Test Kit nya. Ini rutin mingguan AbgHj yang sangat peduli tentang keputusan ujian random diabetesnya sejak pernah cecah sehingga 14 unit mmol/L tanpa puasa. Huhu.. tinggi dah tu. Ujian susulan memang menunjukkan bacaan tinggi.

Sejak itu, macam-macam perkara kami tambahbaik untuk mengawal kandungan gula dari pemakanan.

KakSeri kongsi tips kawal diabetes yang kami lakukan.

+ tukarkan beras biasa kepada beras tanpa kanji. Basmathi

+ tiada lagi air isotonik tanpa gula (so called sugar-free isotonik drinks) atau apa-apa minuman yang diisytihar TANPA-GULA.

+ hanya air kosong yang dialkalikan dengan CMD

+ teh-o kosong dan lemon sekali sekala

+ banyakkan sayur ulaman terutama PERIA KATAK dan brokoli.

+ buah-buahan sekadarnya

Senanam sederhana di atas treadmill, masih lagi cita-cita yang murni. Sebab, sebaik treadmill sediaada diubah ke tempat yang sesuai, ia tak bekerja pula. Tunggu wakil servis dari Fitness First hadir membantu.

Itulah tindakan-tindakan yang diambil. Memakan masa juga dalam 2-3 bulan. Namun hasilnya sangat BAGUS dan kami memilih untuk meneruskannya. #syukur

Pagi tadi KakSeri uji untuk diri sendiri. Alhamdulillah. 3.3 di anggap bacaan ideal dengan ketepatan instrument bagi Random test. Tanpa puasa.

Bacaan ideal dalam pengukuran diabetes:
Random 3.9 - 7.7 mmol/L
Berpuasa 3.9 - 5.5 mmol/L

Target AbgHj kini mahu sama bacaan dengan KakSeri. Lazimlah, pendekar mana yang boleh dicabar? Ha ha..

GoodLuck AbgHj. KakSeri tetap doktor dihatimu... 👍 👍

#celoteh  #KakSeri #SeriAishah #senyum #diabetes #bacaandiabetes #periakatak #mujarab