Wednesday 26 August 2015

Imbau Kenangan : Pukat ikan, Nipah dan Gonggong.

Gambar ini mencetus memori dan menumpahkan air mata  tidak semena-mena.



Inilah kerja KakSeri masa kecik-kecik dulu, setiap kali balik kampung di Kampung Teriang Besar, Endau Johor. Kampung disebelah ibu.

Adik beradik ibu 10 orang. Adik ibu yang ke-8 sebaya dengan KakSeri. Mak Anjang Zai KakSeri panggil dia. Jadinya, dialah kawan baik KakSeri kalau balik kampung. :) Apa-apa aktiviti, kami akan buat bersama sampai sama-sama kemalangan jatuh motor. (KakSeri akan ceritakan di entry lain)

Aktiviti memukat ikan.

Biasanya apabila mahu memukat, Atok Ayah akan maklumkan pada petang hari sebelumnya. Jadi, esok paginya kami akan bersiap awal dengan penuh semangat semacam askar nak pergi berperang! Perasaan ketika itu, tuhan aje yang tahu. Sukalah sesangat. 

Kebiasaannya kami akan pergi bertiga. Atok Ayah, Mak Anjang Zai dan KakSeri.

Perjalanan ke pantai ambil masa 15-20 minit juga. Berjalan kaki melalui hutan nipah yang sudah disediakan titi-titi penghubung dari papan-papan. Berselut itu sudah menjadi perkara biasa bilamana sambungan titi beralih. huhuhu

Owh, kaki pergi berkaki ayam saja.



Apabila musim nipah berbuah, Atok Ayah akan ambil setandan untuk jadi santapan kami bila sampai ke kebun nanti. Menyusuri hujan nipah ini, sangat redup suasananya, bilamana daun-daun nipah menutupi cahaya matahari.

Agak dalam 15 minit perjalanan (perlahan), barulah kami sampai ke kebun dimana Atok Ayah menyimpan pukat. Ada sebuah pondok kecil, dikelilingi pokok-pokok kelapa renek. Mendamaikan.

Atok Ayah akan memeriksa pukatnya dahulu sebelum kami bertiga berangkat ke pantai yang jauhnya di dalan 200meter dari pondok. Sekiranya ada koyakan, Atok Ayah akan sulam dulu.

Berkobar-kobar ke pantai.

Bila semua sudah sedia, berkobar-kobarlah kami ke pandai sambil menggendong pukat. Sampai sahaja ke pantai, kami bertiga akan berjalan sehingga paras air laut berada di sekitar dada kami. Bayangkan sahaja ketika itu, kami di sekitar umur 10-12 tahun. Jadi, tidaklah sedalam mana. Kami akan berhenti di situ sambil memegang pukat.

Atok Ayah akan membawa pukat pada sebelah hujung yang lain ke arah paras air laut yang lebih dalam, sehingga paras dada dan akan bergerak jauh betentangan dengan kami sambil memanjangkan pukatnya. Ada masanya, risau juga di dalam hati KakSeri, bila tengok Atok Ayah berada jauh ke tengah laut. huhu

Apabila pukat sudah ditarik sehingga maksimum jaraknya, Atok Ayah akan mula berjalan ke arah pantai. Sampai di satu titik, Atok Ayah akan mengangkat sebelah tangannya, menandakan yang kami juga perlu menarik pukat ke arah pantai.

Wah, masa inilah masa yang paling seronok. Dengan semangatnya kami menarik pukat. Menarik pukat di dalam air, sememangnya berat. Sebab itu kami memerlukan dua tenaga kami.

Semakin dekat dengan pantai, sudah nampak bayang ikan melenting2 di dalam pukat. Semakin seronok. 

Waktu menuai

Tiba di pantai, kami menjatuhkan pukat dan berlari pergi meninjau hasil tangkapan. Tak sabar. Seingat KakSeri, antara ikan yang banyak adalah ikan Belanak, ikan Duri, Belukang pon ada. Ketam, udang, gamat pun tidak ketinggalan cuma sedikit saja. Banyak anak-anak ikan yang termasuk perangkap pukat. Melenting-lenting masing-masing untuk selamatkan diri, tapi nak buat macamana, itulah rezeki Allah beri kepada kami hari itu.

Sampah, batang kayu juga ada yang melekat sama. :)

Hasil tangkapan itu semua kami ambil dan di alih ke dalam tong ikan. Kalau ada ketam, Atok Ayah lah yang tukang tangkap. Kami takut. hehehe. Rupanya ada teknik nak pegang ketam ni. Kena cekak kedua belah kaki terakhir dia, barulah dia tidak menyepit.

Atok Ayah belanja air kelapa muda

Selesai memilih, kami akan bersihkan pukat. Sampah-sampah yang terlekat perlu dibuang dulu. Kami pulang semula ke kebun untuk bersalin pakaian dan menyimpan pukat. 

Berehat sebentar sambil minum air kelapa muda. Atok Ayah 'belanja'. Atok Ayah akan potong sedikit kulit kelapa untuk dijadikan sudu pengorek isi kelapa muda. Best! Memang best!


Sebelum memulakan perjalanan pulang, kami akan membahagi hasil untuk dibawa bersama. Berbagi untuk meringankan berat hasil tangkapan tadi. Menyusuri jalan yang sama, masih berkaki ayam.

Pulang ke rumah, kami disambut dengan senyuman Mak Atok, Ibu dan adik-beradik yang lain. Mereka pun tak sabar nak tengok hasil yang kami bawa balik... :)

Ketika masa hasil lumayan, saya dan Mak Anjang akan berjualan pula sekeliling kampung berjalan kaki. Murah sahaja jualan kami, dan semestinya habis licin kami jual. :)

Dugaan

Tidak setiap masa kami mendapat hasil yang banyak. Ada satu masa itu, musim obor-obor. Pukat yang kami tarik memang luar biasa berat. Ingatkan dapat ikan besar-besar dan banyak, rupa-rupanya banyak obor-obor. Masa tu memang hasil ikan sangat sedikit, cukup-cukup ajer untuk kami sekeluarga.

Ada masanya jugak, apabila datang hujan, maka tergetar-getarlah badan kami mencangkung di pantai. Kesejukan terasa bila keluar dari laut... gegegege....

Sungguh indah zaman itu.

Amat ternilai pengalaman dan keindahan kehidupan zaman itu. Terlalu banyak aktiviti menarik yang 'hilang' untuk dinikmati dan dialami anak-anak KakSeri. 

Pernah juga sekali mengimbau kenangan di pantai yang sama, tetapi tidak lagi secantik dulu. Pantai yang dulunya tempat menangkap kepah, Gonggong @ siput buluh, kini sudah berselut dan berubah wajah. Perubahan ekologi alam.

Gong-gong @ Siput Buluh
Cara-cara menangkap Siput Buluh


Owh! KakSeri mahu kongsi pengalaman menangkap Siput Buluh. Siput Buluh ni KakSeri panggil Gonggong. Siput buluh ini bersarang di pantai. Maka sangat sesuai dilakukan pada ketika air surut. Lubang rumah siput buluh ini berbentuk seperti lubang kunci tetapi sangat kecil. Maka untuk menangkapnya, kami gunakan lidi 6-8 inci dan diletakkan kapur putih dihujung lidi.

Cucuk lidi ke dalam 'rumah' siput buluh dan tarik. Buih-buih akan keluar menandakan, siput buluh ada dan 'mabuk'. Ia akan naik ke permukaan, tetapi akan masuk semua dengan pantas. Maka kerja-kerja penangkap siput buluh sangat mencabar.  Perlu cepat!

Begitulah kehidupan kampung yang dapat KakSeri kongsikan untuk pembaca semua. KakSeri ambil kesempatan untuk memohon pembaca mendoakan kesejahteraan roh Ninda KakSeri Ninda Amrah bin Ibrahim dan Ninda Che Teek Hj Abdul Kadir  dan dikumpulkan bersama para Solihin kelak.

Al-Fatihah.

noraishahramlan.blogspot.com


Like & Share

No comments:

Post a Comment